Rancangan Malaysia ke-10 Soalan Parlimen/Parliamentary QuestionsKenyataan Media/Media Statements

Monday, June 7, 2010

Soalan Parlimen: Apakah kawalan-kawalan yang diletakkan oleh Kementerian bagi memastikan pelanggan-pelanggan ASTRO tidak dibebankan dengan yuran langganan bulanan yang melampau?

SOALAN: Tuan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) minta Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan menyatakan apakah kawalan-kawalan yang diletakkan oleh Kementerian bagi memastikan pelanggan-pelanggan ASTRO, yang merupakan sebuah monopoli, tidak dibebankan dengan yuran langganan bulanan yang melampau, memberi rebat kepada pelanggannya semasa tiada resepsi waktu hujan dan juga sama ada ASTRO memerlukan kelulusan Kementerian ketika ia menaikkan yuran langganan bulanan.


JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (ASTRO) sebagai pemegang lesen yang memberikan perkhidmatan penyiaran berbayar, perlu mematuhi prinsip-prinsip penetapan kadar harga langganan yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Dari sudut kenaikan harga langganan, setiap kenaikan harga dianalisa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan ia adalah tindakan yang wajar dan munasabah, berasaskan kos yang ditanggung oleh pemberi perkhidmatan dan tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata.

Sehingga Mac 2010, terdapat tujuh (7) pemberi perkhidmatan TV berbayar yang telah diberi lesen untuk menyediakan siaran TV berbayar, selain daripada Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (ASTRO). Namun begitu, pada masa ini, ASTRO adalah penyiar siaran langganan terbesar di Malaysia. Walau bagaimanapun, pengawalan untuk memastikan pengguna dilindungi dijalankan secara berterusan.

Berhubung dengan cadangan Yang Berhormat berkaitan rebat, Kementerian amat mengalu-alukan cadangan bernas dalam memastikan hak pengguna terjamin dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, perkara tersebut akan dikaji dan dipertimbangkan di pihak Kementerian untuk kepentingan semua pihak.