Rancangan Malaysia ke-10 Soalan Parlimen/Parliamentary QuestionsKenyataan Media/Media Statements

Monday, June 7, 2010

Penubuhan Konsensus Bebas

Dengan amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, dengan ini diumumkan penubuhan “KONSENSUS BEBAS” sebagai wadah rasmi sepakat kami sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Konsensus Bebas membentuk satu blok bebas di Parlimen yang efektif, bebas dan ‘non-partisan’. Menzahirkan pandangan serta tindakan politik secara bebas tanpa dibelenggu oleh kongkongan batasan politik kepartian dalam menyampaikan pendirian dan dasar-dasar politik sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Kami percaya pembentukan Konsensus Bebas merupakan persetujuan terbaik antara kami sebagai wakil rakyat untuk membawa isu-isu rakyat dan negara secara kolektif dan efektif.  Dengan persetujuan ini Konsensus Bebas yakin untuk berperanan secara berkesan menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen walaupun tidak dinaungi oleh mana-mana Parti politik.

Konsensus Bebas komited sebagai satu persetujuan Ahli Parlimen Bebas dengan rakyat.  Menjalankan amanah sebagai ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk berusaha memajukan negara.  Memastikan rakyat terus menikmati hidup secara harmoni, berkualiti dan sejahtera di Malaysia.

Pilihanraya Umum 2008 menyerlahkan harapan rakyat untuk perubahan yang telah pun dikecewakan oleh parti-parti politik. Konsensus Bebas berusaha untuk mengembalikan harapan dan keyakinan tersebut. Konsensus Bebas berperanan bukan untuk kepentingan politik tetapi kepentingan rakyat dan negara.

Landskap politik negara sudah banyak berubah dan mencerminkan kematangan proses demokrasi di Malaysia. Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin politik serta parti politik di Malaysia menghormati rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan Parti atau kepentingan pemimpin-pemimpin Parti. Rakyat sama sekali tidak boleh dipermainkan oleh retorik-retorik politik atau politik cakap tidak serupa bikin.

Parti-parti politik hari ini dilihat lebih mementingkan agenda parti manakala pemimpin-pemimpin parti cenderung merebut kuasa. Rakyat menjadi mangsa kepada perebutan jawatan dan pangkat. Politik kepartian semakin tidak sihat lebih memperlihatkan pergeseran politik kerana perebutan kuasa dan jawatan, dihodohkan lagi dengan budaya ampu-mengampu dalam parti. Reformasi yang dituntut rakyat semakin terpesong.

Walaupun Konsensus Bebas berpendirian menerima realiti politik kepartian, namun untuk menjadi Ahli Parlimen yang efektif dan berkesan bukan terletak pada parti yang diwakili tetapi terletak pada kesungguhan dan kejujuran dalam berpolitik.

Sebagai wadah yang bebas Konsensus Bebas memberi jaminan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak baik parti kerajaan atau parti pembangkang. Konsensus Bebas akan sentiasa berpendirian bebas berasaskan kepada aspirasi rakyat dan negara.

Konsensus Bebas akan memberi fokus kepada pembentukan dasar-dasar yang meletakkan keutamaan rakyat. Isu-isu rakyat dan isu-isu negara akan dibawa dengan lebih inovatif berteraskan semangat reformasi tulin, jujur untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara madani.

Konsensus Bebas menawarkan kepada rakyat satu suara efektif di parlimen.


YB DATO' SERI ZAHRAIN MOHAMED HASHIM
Ahli Parlimen Bayan Baru

YB WEE CHOO KEONG
Ahli Parlimen Wangsa Maju

YB ZULKIFLI BIN NOORDIN
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu

YB TAN TEE BENG
Ahli Parlimen Nibong Tebal

YB MOHSIN FADZLI SAMSURI
Ahli Parlimen Bagan Serai