Rancangan Malaysia ke-10 Soalan Parlimen/Parliamentary QuestionsKenyataan Media/Media Statements

Tuesday, June 22, 2010

Cadangan untuk Memansuhkan UPSR dan PMR

KENYATAAN MEDIA
untuk edaran segera

Tarikh: 22 Jun 2010


CADANGAN UNTUK MEMANSUHKAN UPSR DAN PMR

Konsensus Bebas tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Peperiksaan awam UPSR adalah kayu pengukur tahap pencapaian persekolahan untuk tahun enam dan PMR untuk tahun sembilan. Lebih dari itu, peperiksaan awam tersebut adalah kayu pengukur untuk keberkesanan pembelajaran antara daerah/negeri dan antara latar belakang sosio ekonomi sekolah. Jika peperiksaan tersebut dijadikan penilaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, ini bermakna tiada piawaian menyeluruh di peringkat kebangsaan. Keputusan peperiksaan UPSR 5A dari sekolah luar bandar mungkin tidak sama nilainya dengan keputusan UPSR 5A dari sekolah di bandar.

Rasional bahawa peperiksaan UPSR dan PMR mendorong kepada sistem pendidikan yang menjuruskan kepada peperiksaan tidak boleh dinafikan tetapi pemansuhan peperiksaan tersebut bukanlah penyelesaian terbaik. Hanya satu sistem pendidikan yang memberi penekanan seimbang antara pencapaian akademi dan aktiviti-aktiviti kokurikulum yang akan membentuk satu sistem pendidikan yang holistik. Justeru itu, kaedah latihan perguruan dan silibus pembelajaran perlu dikaji semula.

Konsensus Bebas berpendapat bahawa sistem pendidikan di Malaysia seolah bergantung kepada citarasa Menteri. Dasar Pendidikan berubah mengikut perubahan penjawat portfolio Menteri Pelajaran. Oleh itu, Konsensus Bebas menyarankan kepada Kerajaan bahawa satu dasar pendidikan yang berjangka panjang, konsisten dan berkesinambungan digubal.


YB DATO' SERI ZAHRAIN MOHAMED HASHIM
Ahli Parlimen Bayan Baru

YB WEE CHOO KEONG
Ahli Parlimen Wangsa Maju

YB TAN TEE BENG
Ahli Parlimen Nibong Tebal

YB ZULKIFLI BIN NOORDIN
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu

YB MOHSIN FADZLI SAMSURI
Ahli Parlimen Bagan Serai

###