Terima Kasih kerana memberi saya ruang untuk berpatisipasi dalam debat Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh. Sebelum saya melanjutkan ucapan saya di dewan yang mulia, saya ingin mengatakan bahawa saya amat terkilan apabila melihat ramai dikalangan ahli Yang Berhormat lebih gemar untuk menggunakan waktu yang ada berdebat tentang lesen judi bola sepak, siapa yang dapat kontrak, lesen judi yang sekejap keluar dan sekejap tidak keluar, sekejap ada sekejap tidak ada yang mana perkara ini bukanlah sebahagian utama daripada Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh yang perlu kita debatkan.
Walaubagaimanapun tiada siapa pun tahu bahawa orang yang menuduh dan juga orang yang bersungguh-sungguh menentang lesen judi menghentak tauke judi di ceramah-ceramah tetapi dalam masa sama mengatur pertemuan dengan tauke judi samada di dalam dan luar negara khususnya selepas Mac 2008.
Saya kurang pasti barangkali mereka mempunyai agenda terselindung tetapi yang pasti kedua pihak yang berada dalam dewan ini bukanlah maksum sempurna. Oleh itu, jangan lupa ketika jari kita menunding dan menuduh orang ada tiga jari sedang menunding pada diri kita sendiri.
Baiklah, elok kita lupakan politik tuduh-menuduh. Negara kita sedang menuju kemuflisan dalam tempoh sembilan tahun. Samada kita muflis atau tidak, yang pasti kita masih mempunyai sembilan tahun untuk mengubah nasib kita. Jikalau satu pihak cuba untuk meraih kekayaan negara manakala pada satu pihak yang lain berusaha membikin ribut menggulai rakyat dengan kerja-kerja untuk merampas kerajaan, maka ianya tidak berkesudahan. Bukankah baik jika kita bersama-sama berusaha bekerja untuk kebaikan negara.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Izinkan saya untuk mengutarakan beberapa hujah berkaitan Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Tan Sri Yang Di Pertua,
Perkara pertama: Kerajaan mesti bersikap telus dan berani membuat pengumuman untuk mengiktiraf Higher Education Certificate of Chinese Private School (dengan izin) dan selanjutnya saya ingin menyeru Kerajaan untuk mengiktiraf ijazah daripada Taiwan dan China. Kita semua tahu bahawa ijazah-ijazah tersebut telahpun diiktiraf oleh Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang mana negara-negara tersebut adalah lebih maju daripada negara kita.
Saya amat mengharapkan penuntut-penuntut lulusan daripada sekolah-sekolah Cina Persendirian akan diberi peluang secara saksama untuk memasuki IPTA dan Kolej-kolej Perguruan. Ini setidak-tidaknya akan menjadi penyelasaian tentang apa yang telah dibangkitkan oleh Masyarakat Cina berkenaan dengan permasalahan kekurangan guru. Pada saya ini bukanlah satu permintaan yang melampau daripada masyarakat Cina.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Perkara kedua: Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh meletakkan sektor swasta sebagai peneraju kepada pertumbuhan ekonomi Negara termasuk penswastaan projek-projek kerajaan. Niat kerajaan memang baik, tetapi kerajaan mesti mengelak daripada setiap projek hanya diberi kepada kroni, kemudian projek tersebut di sub kan kepada pihak ketiga yang memungkinkan berlakunya projek-projek terbengkalai seperti yang sering kita dengar sebelum ini. Walaubagaimanapun kerajaan mesti lebih berhati-hati dalam perlaksanaan dasar ini kerana:
- Ekonomi Negara akan menjurus kepada jurang antara golongan kaya yang akan bertambah kaya manakala yang miskin akan bertambah miskin.
- Kerajaan juga hendaklah memastikan projek-projek tersebut tidak dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang telah disenaraihitamkan atau kepada kontraktor yang tidak berwibawa, atau hanya kepada satu bangsa tertentu sahaja atau dianugerahkan kepada ahli-ahli politik tertentu sahaja.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Saya mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Barisana Nasional, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Bebas dan NGO tertentu untuk memantau proses pemberian tender projek kerajaan dan penswastaan projek-projek tersebut.
Adalah penting untuk kita memastikan bahawa rakyat merasa yakin dengan usaha-usaha kerajaan untuk memajukan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi seperti yang dihasratkan melalui Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Perkara ketiga: Ingin saya tekankan tentang isu alam sekitar dalam ucapan saya selanjutnya. Saya sangat bersungguh-sungguh dan sentiasa menyentuh isu alam sekitar di dewan yang mulia ini. Dan hari ini sekali lagi dengan tegas saya mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanakan Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation Act 2007 (dengan izin) dengan kadar segera supaya rakyat lebih yakin dengan langkah Kerajaan dalam usaha penambahbaikan alam sekitar.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Kawasan Parlimen saya, Nibong Tebal mengalami pencemaran yang sangat teruk dan membimbangkan kerana pengurusan lemah oleh pihak berwajib di Pusat Perlupusan Sisa Pepejal Pulau Burung. Bukan setakat penduduk terpaksa tinggal dalam keadaan suasana persekitaran yang tidak sihat malahan bekalan air bersih dan perikanan juga dicemari oleh air kumbahan.
Saya telah membangkitkan isu ini berkali-kali, berbuih mulut-mulut dengan Kementerian berkenaan untuk mengambil tindakan sepatutnya. Namun yang sangat-sangat mengecewakan ialah tindakan tidak diambil. Apakah saya perlu mengadu kepada Karam Singh Walia dan TV3 untuk mendapat perhatian atau saya masih lagi boleh meletakkan harapan kepada kementerian untuk kesejahteraan penduduk-penduduk di Kawasan saya.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Saya akan mengambil perhatian secara dekat isu-isu alam sekitar yang berada dalam Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh.
Sudah berkali-kali saya mengajukan soalan mengenai dasar kementerian mengenai Pusat Perlupusan Sisa Pepejal. Namun kesemua sembilan soalan saya tidak tersenarai untuk dijawab oleh Menteri. Seolah saya tidak mendapat keadilan dalam tatacara layanan kerajaan terhadap saya.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Sebagai penggulungan daripada ucapan, saya dapat melihat dengan jelas usaha kerajaan untuk merangsang ekonomi negara. Adalah menjadi satu harapan untuk melihat kerajaan berjaya mencapai sasaran dengan perlaksanaan yang sempurna. Tidak kira siapa yang akan menubuhkan kerajaan dalam lima tahun yang akan datang, kepentingan rakyat jangan sekali-kali diabaikan.
YB TAN TEE BENG
Ahli Parlimen Nibong Tebal
###