Tan Sri Yang Di-Pertua,
Tidak ada makna yang lebih besar bagi Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh melainkan kerangka mempertingkatkan kualiti rakyat melalui pendidikan, pembelajaran dan pencarian ilmu. Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh menyebutnya sebagai 'Pembangunan Modal Insan'. Saya menyokong penuh kesungguhan kerajaan untuk mempertingkatkan pembangunan modal insan dengan menjadikannya sebagai teras penting bagi perancangan nasional untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Saya sangat terpanggil untuk menggunakan masa suntuk ini dengan memberi reaksi balas kepada hasrat kerajaan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pendidikan Menengah Rendah (PMR). Kerajaan bercadang mahu memperkenalkan hanya satu peperiksaan awam di peringkat Sijil Pendidikan Malaysia (SPM). Kerajaan mahu mengubah dari sistem pendidikan yang berteraskan peperiksaan semata kepada sistem pendidikan yang lebih holistik sifatnya.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Sekali ombak datang sekali pantai berubah, sekali Menteri Pendidikan baru datang sekali Dasar Pendidikan berubah.
Dasar pendidikan negara yang tidak konsisten dan berubah-ubah ini adalah sesuatu yang merisaukan dan bahaya. Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dasar pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, Tun Abdullah Ahmad Badawi datang dengan program Jawi, Quran dan Fardhu Ain. Dan hari ini Kerajaan mahu pula mencuba untuk hapuskan UPSR dan PMR.
Saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen Konsensus Bebas tidak mahu melihat negara dan anak-anak pelajar jatuh merudum kerana dasar pendidikan negara yang tidak konsisten.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Perubahan atau reformasi pendidikan memang penting untuk diselaraskan dengan peredaran zaman tetapi ianya mesti berasas dan dituntut. Apa rasionalnya untuk kita buang sistem peperiksaan?
Saya sangat bersetuju orientasi pendidikan berasas kepada peperiksaan semata adalah tidak bagus. Dalam masa sama kalau tidak ada peperiksaan pun tidak bagus juga. Apa yang penting ialah keseimbangan mesti ada dan bagaimanakah keseimbangan itu mahu kita garapkan dalam bentuk dasar pendidikan yang konsisten yang selari dengan tuntutan zaman.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Pentingnya peperiksaan adalah untuk menilai, mengenal pasti, mengkaji tahap setiap individu pelajar. Melalui UPSR dan PMR kita dapat menilai dan memantau prestasi individu pelajar supaya kalau pelajar itu lemah kita boleh perbaiki kelemahan tersebut lebih awal.
UPSR berperanan untuk menilai pencapaian 3M iaitu membaca,menulis dan mengira. PMR pula berperanan untuk menilai dan memandu kecenderungan individu pelajar, samada individu tersebut baik untuk memilih jurusan sains, jurusan sastera atau vokasional.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Kerajaan bercadang untuk memansuhkan sistem peperiksaan awam kecuali SPM, maknanya peperiksaan hanya di peringkat persekolahan sahaja. Persoalannya bagaimana piawaian pembelajaran itu ditentukan? Pelajar yang bersekolah di bandar tidak sama dengan pelajar yang bersekolah di luar bandar. Apa jadi kalau tiba-tiba sekolah luar bandar menghasilkan keputusan cemerlang untuk semua pelajarnya disebabkan piawaian peperiksaan yang diletakkan sekolah tersebut begitu rendah?
Oleh itu, saya sarankan agar Kerajaan lebih berhati-hati dan menjalankan kajian yang terperinci sebelum cadangan tersebut dibawa ke Parlimen. Janganlah kita caca-marbakan sistem pendidikan, belajarlah dengan kesilapan kita sebelum ini apabila mengubal dasar pembelajaran Matematik dan Sains daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris yang ternyata telah gagal.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Yang menjadi masalah bukan peperiksaan, yang menjadi masalah ialah; pelajar hari ini belajar hanya untuk cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak cemerlang dalam praktikal kemahiran kehidupan individu dalam membentuk sahsiah diri yang berkualiti.
Justeru itu, ingin saya tegaskan bahawa peperiksaan mesti ada, tetapi ianya perlu dirombak supaya peperiksaan itu tidak semata-mata berasaskan kepada menjawab soalan di atas kertas sahaja. Sistem peperiksaan dan penilaian mesti melibatkan aspek praktikal, kemahiran dan seumpamanya dalam usaha melahirkan generasi yang berwibawa dari segenap aspek dan disiplin.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Ahli-ahli Yang Berhormat yang ada dalam dewan ini kebanyakannya mengikuti sistem persekolahan kebangsaan yang sedia ada. Oleh yang demikian, tidak timbul isu bahawa sistem pendidikan yang dipraktikkan sekarang adalah sesuatu yang gagal. Banyak aspek lain yang perlu kita telitikan bagi menjawab kenapa pelajar hari ini tidak berkualiti. Mungkin aspek perguruan yang perlu dipertingkatkan atau mungkin silibus pembelajaran yang perlu dikemaskinikan atau mungkin kerajaan dan pemimpin yang perlu diubah atau mungkin keseluruhan sistem perlu diteliti semula.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Setiap dasar yang diperkenalkan Kementerian bukannya percuma, ianya hadir bersama tuntutan kos biaya yang tinggi. Berubahnya sistem pendidikan maka berubahlah silibus, bertukarlah buku teks dan sebagainya. Sudah berapa banyak wang rakyat kita curahkan untuk menyokong perubahan keputusan Menteri bagi dasar-dasar pendidikan sebelum ini? Saya takut kalau cadangan ini dibuat atas dasar untuk membina peluang perniagaan dan kontrak-kontrak baru Kerajaan yang akan menjadi durian runtuh kepada kroni-kroni. Saya sangat takut rakyat terus-menerus menjadi bahan eksperimen uji kaji Kerajaan.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Menyedari bahawa tuntutan zaman, dengan arus teknologi dan kemodenan hari ini juga menuntut kepada perubahan dasar pendidikan negara. Sudah tentu kita juga tidak mahu ketinggalan untuk memastikan bahawa anak-anak pelajar kita setanding dengan anak-anak pelajar di negara maju. Kita tidak mahu anak-anak pelajar kita berperasaan rendah diri dengan ilmu yang tidak mencukupi pada ketika persaingan dalam semua sektor menjadi sengit dan mengutamakan yang terbaik.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Sepuluh minit yang suntuk ini tidak mampu untuk saya hamburkan segala yang terpendam. Hanya sekadar ingatan pada Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh bahawa reformasi pendidikan mesti dimulakan sekarang. Pembelajaran bukan hanya sekadar dalam bilik darjah dengan pen dan kertas. Prospek kerjaya semakin meluas, merentasi pelbagai disiplin keilmuan dan kemahiran.
Di negara maju, pelbagai disiplin keilmuan dan kemahiran telah menjadi subjek teras yang boleh dipelajari di sekolah seperti bidang sukan, muzik, drama pentas, teater dan lakonan, media massa,sains komputer, bio-teknologi dan lain-lain kerana prospek kerjaya semakin luas, akan tetapi di negara kita disiplin-disiplin yang disebutkan tadi hanya sekadar perkara sampingan atau hanya boleh dipelajari di peringkat universiti.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Cabaran besar kepada Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh ialah bagaimana kita bersama Kerajaan merangka dasar pendidikan negara dengan pembinaan sistem pendidikan yang menyeluruh dalam ruang lingkup masa yang terhad dengan harapan generasi baru negara adalah generasi berkualiti tinggi dalam segenap aspek dan disiplin.
YB MOHSIN FADZLI SAMSURI
Ahli Parlimen Nibong Tebal
###