Rancangan Malaysia ke-10 Soalan Parlimen/Parliamentary QuestionsKenyataan Media/Media Statements

Tuesday, June 15, 2010

Soalan Parlimen: Definasi 1Malaysia dan Model Baru Ekonomi oleh YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri

SOALAN: Tuan YB Wee Choo Keong (Wangsa Maju) minta Perdana Menteri untuk menjelaskan definisi polisi 1Malaysia sedangkan masyarakat terus ditafsirkan sebagai Bumiputra dan Bukan Bumiputra serta bagaimana Model Baru Ekonomi dapat menstrukturkan semula Malaysia kearah menjadi masyarakat yang adil dan saksama supaya perbezaan kaum tidak lagi menjadi sebab untuk membezakan sesama rakyat Malaysia?


JAWAPAN oleh YAB Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri:

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya mohon izin untuk menjawab soalan YB Wangsa Maju yang menyentuh tentang definasi 1Malaysia dan Model Baru Ekonomi.

Saya telah kerap kali menyebut bahawa pendekatan konsep 1Malaysia sentiasa mengambil kira roh dan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga prinsip-prinsip Rukun Negara. Yang ditekankan oleh 1Malaysia ialah semangat perpaduan, dan ini berbeza sama sekali dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu asset atau kelebihan yang patut dibanggakan. Jesteru itu tiada masalah atau konflik dengan klasifikasi Bumiputera dan Bukan Bumiputera kerana klasifikasi tersebut merupakan sebahagian dari perlembagaan Persekutuan yang tetap disanjung tinggi. Yang penting ialah perpaduan di bawah konsep 1Malaysia yang didokong oleh teras-teras utama iaitu Penerimaan prinsip-prinsip kenegaraan yakni Perlembagaan dan Rukun Negara, dan juga Keadilan Sosial yang memastikan nasib semua kaum terbela dan terjamin.

Seperti yang diumumkan, tiga prinsip yang jelas terhasil daripada Model Baru Ekonomi (MBE). Pertama, berpendapatan tinggi, kedua, kemapanan dan ketiga, keterangkuman (inclusive). Ketiga-tiga prinsip ini akan memacu kemajuan ekonomi untuk kita menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya; meletakkan kedudukan negara yang berdaya saing secara strategik di dalam ekonomi serantau dan global, persekitaran yang mapan dan kualiti kehidupan secara menyeluruh.

Di bawah MBE, keperluan menstruktur semula masyarakat Malaysia terus wujud dengan keadaan semasa di mana terdapat jurang perbezaan besar dari segi pendapatan di antara golongan 40% terendah, jurang perbezaan pendapatan dapat dikurangkan. Langkah ini adalah melalui peningkatan kualiti golongan ini bagi menyumbang secara aktif dan produktif kepada ekonomi dengan:
  1. membina keupayaan mereka melalui program-program latihan dan kemahiran,
  2. peluang meningkatkan taraf dan kualiti pendidikan, 
  3. peluang mendapat pembiayaan (access to funding) bagi usahawan-usahawan kecil dan sederhana, dan 
  4. peluang mendapatkan kepakaran (khidmat nasihat) dan teknologi bagi melaksanakan perniagaan. 
Dengan pembinaan keupayaan dan peningkatan kemahiran melalui program-program ini, golongan 40% terendah diharapkan dapat bersaing dalam sektor ekonomi dengan lebih berkesan, dan ketika itu, semua rakyat tanpa mengira suku kaum dapat menyertai sektor ekonomi semata-mata atas dasar kompetitif. Ada pun, langkah afirmatif ini akan dilaksanakan dengan telus dan berdasarkan kepada keperluan, supaya tidak berlakunya ketirisan. Akhirnya, dengan kejayaan langkah-langkah tersebut di atas, jurang perbezaan pendapatan dapat dirapatkan dan semua rakyat dapat menikmati kemakmuran dengan adil dan saksama dalam suasan persaingan yang sihat.

Sekian, terima kasih.


SOALAN TAMBAHAN:

Terima Kasih YB Tan Sri Yang Di Pertua dan YAB Perdana Menteri atas jawapan yang diberikan.

Semestinya Negara berbangga mengetahui bahawa dalam kesibukan menyempurnakan amanah yang terbeban, YAB dapat meluangkan masa untuk menjawab dalam sidang pagi ini. Saya menaruh harapan agar para menteri dapat mencontohi YAB untuk juga meluangkan masa hadir bagi menjawab soalan dan tidak menyerahkan tanggungjawab bulat-bulat kepada Timbalan Menteri. Parlimen sebagai badan tertinggi Negara seharusnya diberi penghormatan yang sepatutnya sepertimana yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri pada pagi ini.

Seperti mana yang kita ketahui, Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Allahyarham YAB Tun Abdul Razak Dato’ Hussein, ayahanda YAB. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata dengan matlamat utamanya ialah perpaduan negara dan bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini.

Sungguhpun Dasar Ekonomi Baru telah berlalu dan kini dengan Model Ekonomi Baru (MEB), pencapaiannya ternyata gagal mencapai matlamat Bumiputera 30% dalam bidang ekonomi kerana masalah implementasi DEB.

Namun, Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, adakah kerajaan bercadang untuk menghapuskan fahaman perbezaan kaum secara total lantas memacu rakyat serta negara dalam satu fahaman 1 Bangsa serta membina ekonomi dimana rakyat dapat menikmati kemakmuran dengan adil dan saksama dalam suasana persaingan yang sihat dalam 1 Negara, 1 Malaysia.