Rancangan Malaysia ke-10 Soalan Parlimen/Parliamentary QuestionsKenyataan Media/Media Statements

Thursday, June 17, 2010

Teks Ucapan Konsensus Bebas bagi RMK-10: Meningkatan Pendapatan Isi Rumah, Prasarana ICT, Pemeringkatan Tahap Kemahiran dan Elaun Guru, Penghapusan Sistem PTPTN, Pendidikan Tidak Formal, Penyalahgunaan Kuasa & Rasuah Kontrek Projek, Suruhanjaya DiRaja bagi RMK-10, Kerajaan yang Menghormati Rakyat

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Saya memulakan ucapan dengan menyokong usul Rancangan Malaysia ke-Sepuluh oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Rancangan Malaysia ke-Sepuluh yang dibentangkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri disifatkan sebagai penyusunan sebuah perancangan yang punya harapan mengarahkan negara menjadi sebuah negara maju.


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Rancangan Malaysia ke-Sepuluh bertemakan Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial. RM230 bilion diperuntukkan. Beberapa sektor telah difokus dan dipilih kerajaan. Kerangka Rancangan Malaysia ke-Sepuluh menjangkakan sektor swasta akan menerajui pelaburan dengan didorongi oleh sektor perkhidmatan nilai tambah tinggi, sektor pembuatan dan sektor pertanian.

Sektor swasta atau sektor korporat akan memainkan peranan penting mencorakkan pembangunan rakyat dan negara.  Rancangan Malaysia ke-Sepuluh memperuntukkan sebanyak 55% kepada sektor ekonomi.

Saya ingin mengingatkan sektor korporat supaya tidak hanya memikirkan untung rugi perniagaan semata-mata tetapi sektor korporat harus mula melakukan transformasi dengan melipatgandakan komitmen tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat dan negara. Syarikat korporat yang kaya-raya mesti mula merangka program pembangunan sosial.

Sektor korporat harus menawarkan kemudahan biasiswa dan dermasiswa kepada rakyat. Menawarkan program latihan, seminar, kursus, latihan pembinaan kemahiran secara percuma kepada rakyat. Membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat untuk rakyat belajar, dan rakyat menumpang maju seiring dengan kemajuan sektor korporat. Syarikat besar korporat jangan kedekut, jangan bakhil untuk menghulurkan bantuan penajaan bagi menjayakan program-program rakyat walaupun nilai komersilnya mungkin tiada.


SEKTOR EKONOMI

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Rancangan Malaysia ke-Sepuluh mensasarkan purata pertumbuhan KDNK sebanyak 6%. Walaupun begitu sesetengah ahli ekonomi meramalkan bahawa sukar untuk Rancangan Malaysia ke-Sepuluh mencapai sasaran purata pertumbuhan KDNK 6%. Kerajaan harus bertanggungjawab untuk memberi lebih penjelasan untuk meyakinkan rakyat dengan analisis dan fakta untuk memperkukuhkan sasaran 6% yang diletakkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-Sepuluh boleh tercapai.

Penekanan Rancangan Malaysia ke-Sepuluh adalah kepada Ekonomi Berpendapatan Tinggi Berasaskan Pengetahuan. Bunyinya bagus, sedap tetapi janganlah ianya hanya indah khabar dari rupa.

Untuk mencapai matlamat Ekonomi Berpendapatan Tinggi Berasaskan Pengetahuan, perkara paling asas yang perlu diselesaikan oleh kerajaan ialah prasarana ICT. Sasaran prasarana ICT, iaitu perkhidmatan jalur lebar mesti berkelajuan tinggi.

Hari ini kedudukan Malaysia dalam penarafan antarabangsa bagi kelajuan internet adalah di tangga corot pada kedudukan 102. Bagi negara ASEAN, Singapura, Thailand, Filipina lebih baik dari Malaysia.

Kerajaan perlu bertindak serius untuk mengatasi kelemahan ini. Pelabur akan lebih berminat dan yakin untuk melabur di Malaysia jika tahap prasarana ICT setanding dengan negara maju.


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Walauapa sekalipun, fokus ekonomi mestilah memastikan rakyat mampu meraih pendapatan tinggi. Kerajaan meletak sasaran untuk meningkatkan pendapatan negara kasar perkapita kepada RM38,850 atau US$12,140 bagi setiap isi rumah menjelang tahun 2015. Walaupun begitu sasaran tersebut masih jauh menepati definasi Bank Dunia bagi sebuah negara maju, iaitu pendapatan perkapita sebanyak US$17,000 setahun.

Jurang kaya miskin semakin hari semakin menjarak jauh. Yang kaya akan berlimpah-limpah peluang, projek dan kontrak dan yang miskin akan berterusan tidak ada duit, tidak mampu buat projek, tidak layak dapat kontrak. Agihan sumber kekayaan negara tidak sama rata. Kerajaan perlu menyusun semula masyarakat melalui sektor ekonomi untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang seimbang di kalangan rakyat.


RM92 BILION BAGI PEMBANGUNAN BUKAN FIZIKAL

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Saya menyambut dengan berbaik sangka terhadap perancangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan untuk membangunkan rakyat dan negara. Rancangan Malaysia ke-Sepuluh memperuntukkan RM92 bilion ringgit, iaitu 40% daripada peruntukan keseluruhan kepada pembangunan bukan fizikal. Rancangan Malaysia Ke-Sembilan hanya memperuntukkan 22% untuk pembangunan bukan fizikal. Tentunya peningkatan ini akan memberi faedah secara langsung kepada rakyat atau dalam kata lain kepada pembangunan modal insan.

Tidak ada gunanya kita bina bangunan tinggi mencakar langit, tidak ada gunanya kita bangunkan sistem dan teknologi yang canggih menelan berbillion juta ringgit duit rakyat kalau akhirnya kita terpaksa mengimport kepakaran luar untuk menerajui fasiliti yang ada kerana tenaga tempatan tidak cukup mahir. Oleh itu adalah sangat penting kerajaan memastikan plan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-Sepuluh mampu mencapai sasaran.


SEKTOR PENDIDIKAN


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Sektor pendidikan akan diberi tumpuan paling utama untuk terus diperkukuhkan. Rancangan Malaysia ke-Sepuluh memberi tumpuan kepada melahirkan rakyat sebagai modal insan berkualiti tinggi yang berkemampuan untuk bersaing hingga ke peringkat global.

Rancangan Malaysia ke-Sepuluh akan mengutamakan pemeringkatkan tahap kemahiran guru daripada membina bangunan sekolah. Konsensus Bebas menyokong penuh usaha ini kerana bagi sesebuah negara maju profesion perguruan merupakan kumpulan penting yang diberi perhatian penuh oleh kerajaan. Ini kerana guru adalah cerminan kepada sesebuah negara. Guru yang baik akan menghasilkan anak murid yang berkualiti dan kemahiran tinggi. Guru yang baik akan melahirkan generasi cemerlang untuk negara.

Saya mencadangkan kepada kerajaan bahawa elaun guru perlu distruktur semula selaras dengan kualiti guru yang mahu dipertingkatkan. Di negara maju profesion keguruan adalah karier yang berprofil tinggi. Tetapi keadaan sebaliknya di negara kita. Sukacitanya Konsensus Bebas mahu melihat guru-guru dibayar gaji yang lumayan. Guru ditarafkan pada kedudukan yang tinggi.

Saya membayangkan pada tahun 2015 kita akan melihat guru-guru di sekolah yang sedang mengajar anak-anak kita adalah umpama pensyarah di Universiti.


SISTEM PTPTN

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Seperkara yang saya rasa perlu perhatian Parlimen yang mulia ini adalah untuk mendesak agar kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-Sepuluh menghapuskan sistem PTPTN. Hasrat negara untuk Membangunkan dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia akan terbantut jika negara masih mengekalkan sistem PTPTN. Saya bersama Konsensus Bebas berpendirian tegas bahawa sistem PTPTN perlu dikaji dan diteliti semula. Saya mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan tindakan menyenaraihitamkan peminjam yang tidak membayar hutang PTPTN sehingga mereka tidak boleh ke luar negara.

Saya faham tidak bayar hutang itu salah, tindakan patut diambil tetapi bukan dengan cara menyenaraihitamkan para peminjam. Tindakan seperti ini dilihat seolah kerajaan tidak sensitif terhadap pembangunan generasi muda. Malahan kerajaan menyusahkan generasi muda. Tidak keterlaluan saya mengatakan tindakan menyenaraihitam adalah seperti membunuh perkembangan generasi baru dengan mengheret anak-anak, pelajar-pelajar ke situasi yang bermasalah.

Konsensus Bebas sangat mempersoalkan polisi menyediakan kemudahan pinjaman untuk belajar bagi menggantikan bantuan biasiswa. Konsensus Bebas menolak pemerniagakan sistem pendidikan negara. Konsensus Bebas melihat adalah sangat bahaya sistem pendidikan negara yang ada hari ini melahirkan graduan dengan segulung ijazah bersama segunung hutang. Tamat belajar ada hutang RM20-30 ribu.

Konsensus Bebas menuntut bantuan biasiswa atau dermasiswa hendaklah kembali diperkenalkan dan diperluaskan semula. Adalah menjadi hak rakyat untuk mendapatkan pendidikan terbaik dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan kemudahan pendidikan yang terbaik untuk rakyat.


DASAR MENIAGAKAN PENDIDIKAN NEGARA


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Seperkara lagi berhubung sektor pendidikan negara. Saya khuatir apabila melihat institusi pendidikan menjadi produk yang diniagakan, mutu institusi pendidikan dipengaruhi oleh pasaran, pengiklanan dan promosi. Iklan ini ceritanya semua bagus, seolah habis belajar maka terus dapat kerja pangkat besar. Akhirnya pelajar terpedaya dengan iklan, pergi ke kolej belajar tidak kemana, habis belajar kerja tidak seberapa, hutang sahaja yang ada. Tak boleh bayar kena blacklist habis cerita.


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Kami di Konsensus Bebas akan meminta kerajaan untuk mengeluarkan senarai lengkap dan terkini berapa jumlah peminjam PTPTN yang telah diambil tindakan disenaraihitamkan. Kami juga mahu tahu berapa jumlah anak Melayu berapa jumlah anak orang India, anak orang Cina yang telah disenaraihitamkan.


PENDIDIKAN TIDAK FORMAL


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Rancangan Malaysia ke-Sepuluh member komitmen usaha kerajaan dalam pembangunan sektor pendidikan formal seperti memperkenalkan cadangan umur 5 tahun masuk pra sekolah, mengarusperdanakan dan memperluaskan pendidikan teknik dan latihan vokasional.

Konsensus Bebas ingin menarik perhatian kerajaan bahawa usaha membangunkan sektor pendidikan tidak boleh hanya terfokus kepada pendidikan formal. Pendidikan tidak formal juga penting dalam pembentukan pemikiran dan gaya hidup rakyat.


KUALITI HIDUP RAKYAT


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Cerita atas kertas melihat kerajaan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat. Tiga pendekatan digariskan bagi mencapai matlamat tersebut, berpusat kepada menjana pendapatan rakyat, meningkatkan taraf hidup semasa dengan meningkatkan akses kepada kemudahan asas serta melaksanakan program khusus untuk kumpulan sasaran.

Konsensus Bebas menasihatkan Kerajaan Persekutuan jangan jadi macam kerajaan setahun jagung Pakatan Rakyat Selangor, janji tinggi langit, kalau air laut dijadikan tinta nescaya tidak cukup untuk menulis janji-janji mereka.  Kalau kita dengar retorik Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor khususnya Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor nak tolong rakyat terasa macam mendidih keluar dari telinga. Tetapi akhirnya janji tinggal janji, cerita tinggal cerita.


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Sudah sampai masanya kerajaan, samada kerajaan BN atau kerajaan PR menghormati rakyat. Kita jangan terus-menerus membohongi rakyat. Sudah lah dan cukup-cukuplah. Satu Malaysia kena auta, kena bohong dengan cerita 16 September, 30 Ahli Parlimen BN akan masuk Pakatan Rakyat. Satu Parlimen Malaysia kena auta lagi pasal APCO. Satu Parti Keadilan Rakyat kena tipu pasal isu Bukit Lanjan. Ini nak buat cerita lagi, ada bukti kami terima RM2 juta untuk lompat Parti. Cuba tanya sama pada diri sendiri dimana kelemahan dan perbetulkan. Kalau banyak sangat cakap bohong lama nanti orang panggil Ketua Pembohong. Sudah ada bukti dedahlah, semua orang nak tahu dan saya pun nak tahu.

Saya sebenarnya tidak berminat dengan serangan peribadi. Tetapi kalau Ketua Pembangkang mahu saya cerita bagaimana saya dan rakan ahli Yang Berhormat dari PKR kena temberang dengan Ketua Pembangkang mengenai isu Bukit Lanjan atau isu skandal seks YB Elizabeth Wong, yang Ketua Pembangkang kata sangat memalukan Parti.

Bagaimana pada ketika itu, Ketua Pembangkang memanggil semua ahli parlimen dan memberi taklimat berhubung isu YB Elizabeth Wong dan Ketua Pembangkang mengatakan bahawa YB Elizabeth Wong tidak layak jadi ADUN dan tidak layak jadi Exco. Bagaimana Ketua Pembangkang memberitahu kami ahli parlimen bahawa Ketua Pembangkang sudah tengok video, sudah tengok bukti dengan jelas dan akan mendedahkan bukti kepada kami.

Tetapi akhirnya apa jadi, janji tinggal janji dan cerita tinggal cerita.


PEMBANGUNAN FIZIKAL


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Peruntukkan kepada pembangunan fizikal menurun daripada 78% semasa Rancangan Malaysia Ke-Sembilan kepada 60% pada Rancangan Malaysia ke-Sepuluh. Secara umum Rancangan Malaysia ke-Sepuluh ada keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan.

Peruntukan Pembangunan Fizikal mesti diurus secara berhemah dan bijaksana, berdasarkan keperluan dan tidak membazir.  Projek pembangunan, kontrak kerajaan bukanlah buah catur politik bagi pemimpin politik untuk menjaga kepentingan politik masing-masing dengan menganugerahkan kontrak kepada kroni untuk pastikan diri kekal berkuasa.

Penyalahgunaan kuasa dikalangan pemimpin, dengan rasuah kontrak projek kerajaan telah menyebabkan berlaku pembangunan tidak seimbang. Banyak tanah-tanah rakyat rosak atas nama pembangunan.


SEKTOR AWAM DAN RANCANGAN MALAYSIA KE-SEPULUH

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Untung nasib Rancangan Malaysia ke-Sepuluh terletak kepada perlaksanaan kerajaan, kerajaan juga bermaksud kakitangan kerajaan. Cerita atas kertas bunyi sedap, canggih semua orang boleh buat. Berangan seperti Mat Jenin semua orang boleh buat.

Menyedari betapa besarnya amanah Rancangan Malaysia ke-Sepuluh yang dipikul oleh kakitangan kerajaan, saya menyeru kepada kerajaan untuk mempertingkatkan tahap efisiensi dan produktiviti kerja untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.


Tan Sri Yang Di-Pertua,

RMK Sembilan mencatat banyak kegagalan menurut laporan Jabatan Statistik EPU. Rasuah, korupsi masih menjadi penghalang besar untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang maju. Laporan kajiselidik oleh Merdeka Centre baru-baru ini menunjukkan 53% rakyat Malaysia meletakkan rasuah sebagai masalah paling besar kepada negara. Laporan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan CUEPACS yang mengatakan bahawa 41% kakitangan awam terlibat dalam rasuah.


Tan Sri Yang Di Pertua,

Konsensus Bebas bersangka baik dengan berfikiran positif untuk melihat Rancangan Malaysia ke-Sepuluh berjaya. Konsensus Bebas mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Di-Raja yang tempoh khidmatnya adalah sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-Sepuluh. Tujuan dan fungsi utama Suruhanjaya Di-Raja ini adalah untuk memantau perlaksanaan Rancangan Malaysia ke-Sepuluh. Suruhanjaya Di-Raja perlu terdiri dari;
  • pemimpin politik dari parti pemerintah, parti pembangkang dan Bebas
  • Tokoh Akademik
  • Tokoh Korporat
  • Pegawai Tinggi Kerajaan
  • NGO

Tokoh seperti Tan Sri Hassan Merican mungkin calon sesuai mengetuai Suruhanjaya Di-Raja Rancangan Malaysia ke-Sepuluh.


Tan Sri Yang Di-Pertua,

Terima kasih dan kirim salam pada Ketua Pembangkang.



YB DATO' SERI ZAHRAIN MOHAMED HASHIM
Ahli Parlimen Bayan Baru


###