Rancangan Malaysia ke-10 Soalan Parlimen/Parliamentary QuestionsKenyataan Media/Media Statements

Thursday, July 8, 2010

Teks soaljawab ketika membahas Rang Undang-Undang Mahkamah Rendah (Pindaan 2010) di Dewan Rakyat

Tindakan Suruhanjaya Sekuriti Mengugut Wartawan Amat Tidak Beretika dan Tidak Boleh Diterima Umum

Tuan Yang Di-Pertua,

Kita semua maklum mengenai siri siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang agak ganas dan keras keatas empat orang ‘business reporter’ (dengan izin) berhubung laporan akhbar berkenaan penjualan saham Kenmark Industrial Co (M) Bhd.

Nampak nyata dalam isu penyiasatan yang dianggap terlampau ini, Suruhanjaya Sekuriti telah melampaui batas dan menyalahgunakan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 khususnya Seksyen 134 dan cuba menakut dan mengancam wartawan professional daripada menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan. Timbul juga persoalan, kenapa SC bertindak sebagai samseng dan menidakkan hak wartawan-wartawan terbabit.


Tuan Yang Di Pertua,

Dewan Yang Mulia ini harus dimaklumkan bahawa bidang kuasa SC adalah untuk mengatur dan memantau pasaran modal serta menyiasat salahlaku dan penyelewengan syarikat-syarikat awam, tetapi dalam kes Kenmark ini SC dilihat bertindak sebagai ‘pengganas’.

Wartawan-wartawan yang dikasari dan digertak SC dalam siasatan yang kini dipersoalkan ramai ialah:

1. Cik B.K. Sidhu, ‘business journalist’ dari akhbar The Star yang disoal-siasat selama LAPAN jam tanpa henti pada hari Rabu, 23 Jun 2010. Tindakan SC ini adalah sesuatu yang amat memalukan dan tidak pernah berlaku Malaysia sebelum ini.

2. Encik Azlan Abu Bakar, dari akhbar Business Times. Beliau di-soalsiasat sehari selepas Cik B.K.Sidhu.

3. Cik Dalila Abu Bakar dan Encik Ishun P. Ahmad, dari akhbar The Malaysian Reserve yang disoal siasat secara kasar pada hari Isnin, 28 Jun 2010.

Tindakan SC mengugut wartawan ini adalah amat tidak beretika dan tidak boleh di terima umum.


Tuan Yang DiPertua,

Saya berasa Dewan Yang Mulia ini harus mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memperbetulkan kepincangan ini.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Yang Berbahagia Tan Sri Zarinah Anwar harus bertanggungjawab keatas siasatan melampau dan tindakan mengugut wartawan.

Adalah jelas bahawa SC di bawah seliaan Yang Berbahagia Tan Sri Zarinah Anwar telah hilang kawalan dan kepercayaan umum, dan berdasarkan isu terbaru ini saya mencadangkan agar Dewan Yang Mulia ini membincangkan isu-isu SC yang amat kontroversi.

Isu-isu tersebut ialah:

1. Pengambilalihan syarikat kerajaan Avenue Capital yang bernilai RM800 juta oleh syarikat yang lebih kecil yang bernilai RM200 juta pada pertengahan 2006 dan selesai dengan dalam masa yang singkat.

2. Kes syarikat MyEG Services Bhd, salah sebuah syarikat dalam konsortium syarikat yang merupakan pemberi perkhidmatan (service provider) “online” untuk perkhidmatan kaunter Kerajaan Malaysia yang dibantu oleh seorang warga Singapura, Ong Soon Kiat. Ong Soon Kiat  yang pada tahun 1999 menjadi pemegang saham aktif dan Pegawai Ketua Eksekutif Paxelent Corporation Bhd.telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 97 (1) Akta Industri Sekuriti Singapura.

3. Penyenaraian syarikat Tat Sang Berhad dari Johor yang mengalami kerugian pada tahun pertama  tersenarai di Bursa, padahal prospektus syarikat yang dikeluarkan sebelum penyenaraian memberi petunjuk bahawa syarikat tersebut adalah syarikat yang mengalami keuntungan.

4. Suami Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Dato' Azizan Abdul Rahman yang terlibat dalam pengstrukturan semula TSH Resources Bhd., yang akhirnya memegang 67% saham dalam Ekowood Berhad di mana Tabung Haji memegang saham sebanyak 7%. Dato' Azizan mempunyai hubungan perniagaan dengan Dato' Kalimullah yang kemudiannya menerima pelbagai pelepasan dalam pengambilalihan Avenue oleh ECM Libra.

5. Penglibatan suami Pengerusi SC, Dato' Azizan Abdul Rahman dalam pengstrukturan semula, tawaran saham hak dan tawaran saham istimewa untuk mendapatkan penyenaraian semula Tenco Bhd. sebagai Nagamas International Bhd. menurut Practice Note 17 oleh SC pada September 2007.

6. Menarik balik dengan seberapa segera status penyenaraian Isyoda Bhd yang mempunyai hubungan dengan projek Hospital Shah Alam dan dipercayai ada hubungan rapat dengan suami Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar iaitu Dato' Azizan Abdul Rahman.

7. Penyenaraian Lityan Berhad pada awal tahun 2010 apabila SC meluluskan 1 juta saham untuk ditawarkan kepada Datuk Ismee Ismail, Pegawai Eksekutif Kewangan Tabung Haji, dan bukan kepada Tabung Haji sendiri.


Saya dengan ini memohon agar Dewan Yang Mulia ini mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memperbetulkan kepincangan ini, memandangkan SC telah lari dari lunas tanggungjawabnya dan telah melakukan perkara-perkara berikut ketika menjalankan siasatan secara kasar baru-baru ini:

1. SC telah menyalahgunakan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dengan menginvokasi Seksyen 134.

2. Pihak SC bersikap memilih-milih dalam penyiasatan yang merujuk kepada Kenmark dan Datuk Ishak Ismail.

3. Pihak SC tidak konsisten dan didapati cuai dalam penyiasatan, serta wujud amalan-amalan salahguna kuasa oleh individu atau syarikat tersenarai dalam memanipulasi pasaran (market-rigging).

4. Pihak SC tidak efisyen dalam tanggungjawab fidusiari dalam mengawalselia dan memantau hal ehwal dan syarikat tersenarai itu sendiri.

5. Pihak SC menyedari beberapa kes percanggahan kepentingan (conflict of interest) tetapi gagal mengambil tindakan lanjut.

6. Pihak SC telah cuai dalam menjaga kepentingan pelabur dari kalangan awam dan ini menyebabkan Bursa Saham Malaysia mengalami kejatuhan reputasi.


Terima kasih.