SOALAN: Dato' Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan apakah Kerajaan bercadang untuk memperkasakan koperasi-koperasi sebagai wahana pembangunan ekonomi khususnya di luar bandar dan setiap daerah diwujudkan koperasi rakyat dengan dana dibiayai oleh Kerajaan.
JAWAPAN: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan II (Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim) menjawab:
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia sememangnya sedang merangka dasar untuk memperkasakan koperasi-koperasi sebagai wahana pembangunan ekonomi khususnya koperasi di luar bandar. Koperasi-koperasi akan dirangsang untuk menceburi sektor ekonomi bernilai tinggi yang dapat menjana kekayaan di samping berusaha untuk memperkukuhkan keupayaan dan kebolehan koperasi.
Sasaran kerajaan adalah untuk menjadikan sektor koperasi penyumbang berkesan kepada pembangunan negara menjelang 2020. Sekarang sektor koperasi hanya menyumbang 1% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) iaitu berjumlah RM6.8 bilion. Koperasi-koperasi di luar bandar akan digalakkan menceburi aktiviti perdagangan, pengedaran, pelancongan dan yang mempunyai tanah akan digalakkan untuk menceburi bidang pengeluaran makanan dan ternakan secara besar-besaran, dan berteknologi moden sama ada melalui gabungan atau kerjasama dengan pihak ketiga.
Dalam bulan Mac tahun 2010, Program Satu Komuniti, Satu Koperasi (1K1K) telah dilancarkan bertujuan untuk melancarkan penubuhan koperasi bukan sahaja di setiap daerah malah di setiap masyarakat dan komuniti. Setiap koperasi yang baru ditubuhkan layak memohon geran sebanyak RM30,000 untuk memulakan aktiviti.
Sekian, terima kasih.
SOALAN SUSULAN: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sebagaimana yang diketahui, konsep koperasi ini memang baik dan beberapa negara seperti Korea, dulu belakang daripada Malaysia sekarang telah melonjak ke hadapan kerana konsep koperasinya yang berjaya melibatkan pertumbuhan khususnya untuk menjana pendapatan tinggi.
Jadi saya hendak tanya, dalam Rancangan Malaysia ke-10 ini, kerajaan menaruh harapan kepada sektor korporat dan swasta untuk menjayakan RMK-10 sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara. Apakah kerja-kerja yang dibuat oleh kerajaan untuk mencari jalan untuk ada usahasama atau kerjasama di antara sektor korporat dan swasta dengan sektor koperasi ini?
Terima kasih.
JAWAPAN: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan II (Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim) menjawab:
Terima kasih Yang Berhormat.
Sebenarnya Yang Berhormat, kita berhasrat supaya sektor koperasi ini akan menjadi penyumbang ketiga dalam ekonomi negara, insya-Allah. Seperti saya katakan tadi sebab koperasi-koperasi ini yang moleknya dan seperti Yang Berhormat tadi katakan negara Korea itu, daripada dahulunya dia rendah sedikit kedudukan tetapi melalui pengkoperasian yang begitu maju, ia telah dapat melonjak begitu maju.
Jadi untuk makluman Yang Berhormat, Yang Berhormat Menteri dan pegawai-pegawai tinggi kementerian juga telah mengadakan satu lawatan untuk kita belajar dengan negara-negara lain khasnya Korea dan juga Jepun dan insya-Allah Yang Berhormat, kita sekarang ini dalam penggubalan terakhir Dasar Koperasi Negara yang meliputi tahun 2011 sehingga tahun 2020 di mana segala teras-teras yang diutarakan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh juga dirangkumkan sekali di dalam dasar tersebut. Untuk makluman Yang Berhormat, kita begitu yakin memandangkan bilangan koperasi kita pada masa ini adalah 7,688 buah koperasi dengan ahlinya tujuh juta orang ahli.
Kita sangat berharap bahawa koperasi ini akan memainkan peranan dan insya-Allah Dasar Koperasi Negara yang baru ini akan dilancarkan pada 16 Julai ini iaitu dalam minggu hadapan dan di situlah akan dioutlinekan segala strategi dan juga teras-teras yang akan kita gunakan untuk kita melonjakkan koperasi-koperasi bukan sahaja di bandar tetapi khasnya di luar bandar sebab didapati di situlah banyaknya koperasi-koperasi yang boleh memainkan peranan dan kita sudah juga menyusuli masuk ke sekolah-sekolah. Setiap sekolah dan di IPTA-IPTA ada koperasi supaya kita dapat memupuk dari segi semangat koperasi ini dapat dijanakan dari peringkat awal sehingga kita menjadi anggota masyarakat seperti yang kita sarankan melalui 1K1K iaitu, 1Komuniti 1Koperasi dan juga KOBERA yang telah dilancarkan pada tahun 2008 iaitu koperasi untuk membela rakyat termiskin insya-Allah.