- Apakah langkah-langkah untuk mengatasi aktiviti penyeludupan rokok yang berleluasa; dan
- Berapakah jumlah tangkapan dan nilai rampasan bagi tahun 2008 hingga kini.
JAWAPAN: Timbalan Menteri Kewangan II (Dato' Donald Lim Siang Chai) menjawab:
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau JKDM telah mengambil tindakan penguatkuasaan secara berterusan sepanjang tahun untuk membanteras sindiket penyeludupan rokok. Di antara langkah diambil adalah menjalankan pemeriksaan ke atas premis atau stor, serbuan, menjalankan sekatan jalan raya, menjalankan rondaan darat, menjalankan rondaan laut, mengesan barangan yang disyaki dengan menggunakan mesin pengimbas, aktiviti risikan, mengadakan kempen atau publisiti bagi tujuan meningkatkan kesedaran, mewujudkan talian bebas tol untuk memudahkan aduan oleh orang awam dan penggunaan dakwat keselamatan serta cukai setem bagi membezakan rokok yang telah dibayar cukai dengan rokok yang belum dibayar cukainya.
Langkah yang diambil oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia tersebut telah berjaya membanteras aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok seludup berdasarkan peningkatan perolehan kes dan nilai rampasan rokok yang telah meningkat sebanyak 56% bagi tempoh Januari hingga Mei 2010 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2009.
Tuan Yang di-Pertua, untuk jawapan (b), jumlah tangkapan penyeludupan rokok bagi tahun 2008, 2009 dan 2010 hingga Mei adalah 1123 kes, 1799 kes, dan 1486 kes masing-masing. Nilai rampasan adalah berjumlah RM58,167,561 bagi tahun 2008, RM70,902,558 bagi tahun 2009 dan RM43,593,379 bagi tahun 2010 iaitu sehingga bulan Mei.
Sekian.